Posted on Julai 11, 2008 by nursyirah
ORANG cemerlang ialah orang yang berjaya menguruskan
kehidupannya dengan baik, dapat mengatasi masalah dan menghadapi tekanan dengan
tabah. Malah, bagi golongan ini kesilapan dijadikan iktibar, manakala kegagalan
dipandang positif sebagai pendorong mencapai kejayaan.
Tetapi bagi sesetengah pihak, rintangan dan tekanan hidup
dianggap masalah yang tidak berkesudahan, menyebabkan semakin difikirkan
bertambah kusut fikirannya. Bahkan, sekiranya tekanan dan masalah itu tidak
ditangani dengan baik akan memberikan kesan lebih buruk.
Bagi orang Islam,
sejauh mana seseorang itu mampu bertahan dengan tekanan, selagi itulah ganjaran
pahala yang diperolehnya.
Islam melihat punca tekanan lebih kepada kecelaruan dan
kelemahan hati. Hati yang lemah menyebabkan hubungan dengan Allah menjadi
rapuh. Seterusnya akan menjadikan hidup sempit kerana tidak menemui jalan
keluar terhadap setiap masalah.
Hati akan berasa bahagia apabila dekat dengan Allah. Sebaliknya
hati akan sengsara apabila ia ingkar kepada hukum Allah dan lalai daripada
mengingatinya.
Dalam menghadapi tekanan atau stres secara umumnya mengikut kaca
mata Islam ada beberapa panduan, iaitu:
· Membaca al-Quran, di
samping memahami maknanya. Al-Quran adalah rahmat untuk sekelian alam dan ia
adalah cahaya, hidayah dan penyembuh bagi penyakit. Dengan memahami dan
menghayati kandungan al-Quran seseorang dapat menenangkan hati, fikiran dan
jasmani.
· Banyak bertaubat dan
istighfar. Bertafakur mengenang dosa, merenung mengenai diri terhadap segala
nikmat yang Allah berikan kepada kita.
· Mendekatkan diri
kepada Allah, mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Contohnya tidak meninggalkan solat wajib, malah turut melakukan
solat sunat dan selalu mengingati Allah dalam setiap ketika.
· Bersedekah. Harta
menyebabkan jiwa tertekan dan memberi sedekah itu kerana Allah dapat memberikan
ketenangan. Sedekah lebih bermakna ketika seseorang itu berasa sangat sayang
(bakhil) terhadap hartanya. Orang yang bakhil sentiasa disempitkan hati dan
akhlaknya oleh Allah kerna mereka berkira dengan kurniaan Allah.
· Bijak mengurus.
Seseorang itu harus bijak dalam menguruskan masa, tenaga, keutamaan dan aset
yang ada. Bahkan Allah mengingatkan kita mengenai beban kerja dan tanggungjawab
itu perlulah sepadan dengan kemampuan kita, Kita diajar supaya berdoa daripada
kerja berlebihan yang tidak mampu ditanggung.
· Bersangka baik kepada
Allah. Kita hendaklah berbicara dan berkata dengan positif serta penuh
pengharapan kepada Allah. Ini kerana setiap lafaz diucapkan itu adalah doa dan
sangkaan kita kepada Allah.
· Tawakal, iaitu
berserah diri kepada Allah. Menyerah sesuatu perkara itu kepada Allah selepas
berusaha sedaya upaya adalah sikap yang sangat baik. Seseorang itu harus
menyedari Allah yang mengurniakan rezeki, kekuatan, keinginan dan badan yang
sihat bagi hamba-Nya berusaha meneruskan hidup di dunia ini.
No comments:
Post a Comment